Powered By Blogger

Sunday, July 31, 2011

RAMADHAN: Perbanyakkanlah Mohon Keampunan & Kembalilah Kepada ALLAH



"Ramadan 2012Setiap kita mempunyai dosa samada dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja.  Apatah lagi kita yang hidup pada zaman mutakhir ini, kita sering kalah dengan godaan luaran dan pujukan nafsu dalam diri kita sendiri.  Kita sepatutnya berasa malu dengan ALLAH Subhanahu wa Ta’ala disebabkan oleh kelemahan ini.

Walaupun begitu, ALLAH Subhanahu wa Ta’ala sentiasa tahu kelemahan kita.  DIA tahu kita selalu lupa.  DIA tahu kita sering gagal menghindari dosa.  Dan DIA tahu fitrah manusia yang mahu kembali kepadaNYA.  Betapa baiknya DIA, betapa lembutnya DIA dengan kita.  Kita seharusnya berterima kasih dengan sungguh-sungguh kerana DIA sentiasa bersedia memberi keampunan kepada hamba-hambaNYA yang ingin bertaubat.

Firman ALLAH Subhanahu wa Ta’ala yang lebih kurang maksudnya:

Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”  (Surah az-Zumar 39:53)
Malah, ALLAH ‘Azza wa Jalla sangat gembira dengan sikap hamba-hambaNYA yang mahu bertaubat dan kembali kepadaNYA.  Dalam sebuah hadith, ada Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda yang lebih kurang maksudnya:
“Sungguh ALLAH itu lebih gembira untuk menerima taubat hambaNYA, melebihi dari kegembiraan seseorang di antara kamu sekalian yang menemukan kembali untanya yang telah hilang di tengah-tengah padang gurun.”  (HR Bukhari & Muslim)
Nah, lihatlah betapa gembiranya ALLAH Subhanahu wa Ta’ala menerima taubat orang yang bertaubat.  Justeru, jangan putus asa dan kecewa.  Walau banyak mana pun dosa kita, insyaALLAH DIA akan terima taubat kita.  Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:
“Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, “Wahai anak Adam, sepanjang engkau memohon kepada-KU dan berharap kepada-KU, akan AKU ampuni apa yang telah kamu lakukan.  Aku tidak peduli.  Wahai anak Adam, jika dosa-dosamu setinggi awan di langit kemudian engkau meminta ampunan kepada-KU akan AKU ampuni. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang membawa kesalahan sebesar dunia, kemudian engkau datang kepada-KU tanpa menyekutukan AKU dengan sesuatu apapun, pasti AKU akan datang kepadamu dengan ampunan sebesar itu pula.” (HR. Tirmidzi, ia berkata, ”hadits ini hasan shahih.)
SubhanALLAH, bisa menitis air mata kita tatkala mengenangkan betapa Pemurahnya DIA, betapa Pengampunnya DIA, betapa tak kisahnya DIA akan dosa kita yang menggunung, DIA tetap akan terima kita jika kita mahu kembali kepadaNYA, betapa lembutnya DIA terhadap kita, betapa Penyayangnya DIA.  ALLAH…ALLAH…ALLAH…
Peluang Besar-Besaran Untuk Pengampunan Dosa
Bagi yang berkesempatan untuk berada di dalam bulan Ramadhan, kita disarankan untuk beribadah dengan penuh keimanan dan sunguh-sungguh dalam mengharapkan pahala dari ALLAH Subhanahu wa Ta’ala.  Ganjaran besar berupa pengampunan dosa yang telah lalu menanti bagi mereka yang beribadah sungguh-sungguh di dalam bulan yang mulia ini.
“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala daripada ALLAH, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”  (HR Bukhari & Muslim)
“Barangsiapa yang mengerjakan solat sunnat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang telah lalu.”  (HR Bukhari & Muslim)
Perbanyakkanlah amalan-amalan sunnat dan mohonlah keampunan kepada ALLAH Subhanahu wa Ta’ala di dalam bulan yang penuh barakah ini.
Rugi Besar Jika Tidak Diampuni ALLAH Pada Bulan Ramadhan
Di dalam sebuah hadith riwayat Imam Ahmad, ada diceritakan tentang perbuatan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam yang sedang menaiki mimbar, lalu Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam menyebut “amin” sebanyak 3 kali.  Selesai memberi khutbah, para sahabat bertanya kenapa tadi disebut “amin” sebanyak 3 kali?  Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam menjawab bahawa Jibril datang ketika itu dan berdo’a bahawa sangat kecewa dan rugilah bagi (1) orang yang apabila disebut nama Muhammmad, tidak dibaca solawat ke atas Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam, (2) orang yang sempat hidup bersama orang tuanya, tetapi mereka tidak membuatkan dia dapat masuk syurga, dan (3) orang yang sempat hidup di dalam bulan Ramadhan, tetapi tidak terampun dosa-dosanya.  Sebab itulah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam sebut, amin…amin…amin.

Doa Yang Patut Dibaca Selalu, Khususnya Pada Bulan Ramadhan
Ramadhan dan pengampunan dosa tidak dapat dipisahkan.  Malah, apabila ditanya oleh Aishah radhiAllahu ‘anha tentang apakah yang harus dibaca olehnya sekiranya bertemu dengan Lailatul-Qadr, Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam mengajarkan doa khusus berikut untuk memohon keampunan, iaitu:
اللهمّ, انّك عفوّ, تحبّ العفو, فعف عنّي
Allahumma innaka ‘afuwwun, tuhibbul ‘afwa, fa’fu ‘anni
Ertinya:  “Ya ALLAH, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau suka memberikan keampunan, maka ampunkanlah aku…”
Lihatlah muslimin muslimat sekalian, Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam menganjurkan kita agar membaca doa di atas supaya diampuni dosa-dosa kita yang telah lalu.  Betapa besar nilai dan makna doa ini sehingga Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam menyarankannya.
Ini bermakna, ibadah memohon keampunan dengan tujuan untuk mendapat keampunan dari ALLAH mempunyai nilai yang sangat tinggi sehinggakan pada malam al-Qadr yang istimewa itu pun diajar tentang doa khusus untuk mendapat keampunan ALLAH.  Justeru, janganlah ditinggalkan memohon ampun kepada ALLAH banyak-banyak disamping lain-lain ibadah sunnat dan hajat yang ingin dipohon.
Perbanyakkanlah memohon ampun di dalam bulan Ramadhan ini…

Aidilfitri Meraikan Kembalinya Insan Kepada Fitrah (Tidak Berdosa)
Dan jika kita lihat makna di sebalik Aidilfitri, iaitu hari yang disambut muslim selepas habis Ramadhan, ia bermakna Hari Raya Fitrah.  Iaitu meraikan kejayaan muslimin dalam menjalani ibadah pada bulan Ramadhan dan yang paling penting ialah mendapat pengampunan dan kembali kepada keadaan fitrah manusia iaitu tanpa dosa.  Itulah sebenar-benar perayaan Aidilfitri dan sebenar-benar pencapaian Ramadhan, untuk menjadi manusia yang bertaqwa dan penghapusan dosa-dosa.
Amatlah malang sekiranya hari raya Aidilfitri dicemari dengan dosa dan maksiat, walhal hikmah utama Aidilfitri ialah untuk meraikan keampunan dosa manusia hasil dari kebaikan Ramadhan yang telah dilalui selama sebulan lamanya.  Dengan syarat dilalui Ramadhan itu dengan ‘imaanan wahtisaaban’… iaitu dengan penuh keimanan dan mengharapkan sungguh-sungguh pahala dari ALLAH.
Mudah-mudahan tulisan ini dapat menimbulkan rasa keinsafan buat diri saya dan kalian semua dalam berusaha untuk kembali kepada ALLAH.  Kembali kepada ALLAH dengan makna untuk 100% beriman kepadaNYA melalui hati, lisan dan amal.  Kembali mengamalkan sunnah-sunnah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam ke dalam setiap cara hidup kita.
Semoga kita semua beroleh Taqwa dan diampuni ALLAH Subhanahu wa Ta’ala.  Dan akhir nanti kembali bertemuNYA dalam keadaan tidak berdosa.  ALLAH redho dengan kita, kita redho dengan ALLAH… amin.
SUMBER: 

Tazkirah Menjelang Ramadhan


PUASA
Ertinya:
Menahan diri dari makan dan minum atau apa-apa jua yang boleh membatalkan puasa, sepanjang hari mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari dalam sebulan bulan Ramadhan.
Perintah wajib puasa : Surah Al-Baqarah Ayat 183:
Bermaksud: Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atasmu berpuasa, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa

Orang Yang Wajib Puasa:

1) Islam
2) Mukalaf
3) Berkuasa/Mampu untuk berpuasa, tidak uzur
4) Telah melihat anak bulan Ramadhan atau mensabitkan bulan Ramadhan dengan         
menggenapkan bulan Sya’ban 30 hari.

Syarat Sah Puasa:

1) Beragama Islam sahaja, lelaki, perempuan dan kanak-kanak yang telah mumaiyyiz.
2) Suci dari haid dan nifas.
3) Sempurna akal fikirannya sepanjang hari itu.
4) Bukan pada hari yang tidak sah puasa eg. Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji dan Hari Syak (30hb Sya’ban).

Rukun Puasa:

1) Niat, di waktu malam mulai selepas Maghrib sampai sebelum terbit fajar.
2) Meninggalkan semua perkara-perkara yang membatalkan puasa sejak terbitnya fajar sampai terbenamnya matahari.

Perkara Membatalkan Puasa:
Sekiranya

1) Memasukkan benda/sesuatu ke dalam jauh rongga seperti mulut, hidung, telinga, atau lubang-lubang kemaluan dengan sengaja.
2) Muntah dengan sengaja.
3) Mengeluarkan mani dengan sengaja.
4) Haid atau nifas.
5) Bersetubuh di siang hari (selain membatalkan puasa ia juga ada hukum tersendiri iaitu diwajibkan membayar kifarah).
6) Murtad (keluar dari Islam).
7) Gila (hilang akal).

Pantang-larang puasa:
Iaitu perkara-perkara yang membatalkan pahala puasa, maknanya berpuasa tidak mendapat apa-apa pahala kecuali lapar dan dahaga (puasa yang sia-sia).

1) Berdusta, berbohong.
2) Mengumpat, mengata orang.
3) Membuat sesuatu yang boleh mendatangkan permusuhan.
4) Melihat benda-benda yang mendatangkan keinginan.
5) Marah.



LAFAZ NIAT PUASA
Lafaz niat utk sebulan puasa
نـَوَيْتُ صَوْم َ شـَهْرِ رَمـَضَانَ كـُلـِهِ لِلـَّهِ تـَعَالىَ
“Sahaja aku berpuasa keseluruhan bulan Ramadhan kerana Allah Ta”ala”

Lafaz niat puasa
نـَوَيْتُ صَوْمَ غـَدٍ عَـنْ ا َدَاءِ فـَرْض ِ شـَهْرِ رَمـَضَانَ هـَذِهِ السَّـنـَةِ لِلـَّهِ تـَعَالىَ
“Sahaja aku berpuasa esok hari menunaikan Fardhu Ramadhan tahun ini kerana Alalh Ta’ala”

Doa Berbuka Puasa

اَ للَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَبِكَ أَمَنْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ
Ya Allah bagi Engkau aku berpuasa dan dengan Engkau beriman aku dengan rezeki Engkau aku berbuka dengan rahmat Engkau wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang.
Sunat-sunat Puasa:

1) Menyegerakan berbuka puasa apabila telah yakin waktu berbuka.
2) Makan sahur walaupun sedikit.
3) Melambatkan makan sahur iaitu lepas daripada tengah malam dan sebelum waktu imsak.
4) Berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis.
5) Memperbanyakkan membaca Al-Quran.
6) Memperbanyakkan sedekah.
7) Beriktikaf siang hari dalam masjid.
8) Menghadiri majlis-majlis ilmu.
9) Menyediakan makanan untuk berbuka untuk orang-orang berpuasa.
10) Jangan bersugi setelah tergelincir matahari ke arah barat sehingga terbenamnya matahari kerana boleh memakruhkan puasa.

Golongan Yang Harus (Dibenarkan) Berbuka Puasa:

1) Orang yang di dalam (perjalanan - musafir), tetapi wajib di qada’.
2) Orang sakit, wajib di qada’.
3) Ibu yang menyusukan anak, jika takut mudharat bagi dirinya, maka wajib qada’ dan jika takut mudharat bagi anaknya maka wajib qada’ dan fidyah. 

 Selamat menunaikan ibadat Puasa....Kullu Ammi Wantum Bikhairi...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...